Jumaat, 14 November 2014 | 9:36am
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin. - Foto BERNAMA
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin. - Foto BERNAMA

Hubungan Malaysia-China berada di landasan betul - Duta

BEIJING: Hubungan dua hala Malaysia-China berada di landasan yang betul malah bertambah akrab walaupun diganggu pihak tertentu yang mengambil kesempatan berikutan tragedi pesawat MH370 sehingga menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia di China, Datuk Iskandar Sarudin, berkata kekuatan hubungan itu disokong majoriti rakyat China yang mahu melihat hubungan berkenaan pulih dengan cepat.

"Hubungan antara rakyat kedua-dua negara terjejas sedikit pada awalnya kerana teori spekulasi yang dimainkan pihak-pihak tertentu sehingga menjadi isu emosi melalui internet.

"Media-media tempatan bagaimanapun bersikap positif. Persepsi itu bagaimanapun bertukar malah hubungan Malaysia-China lebih kuat.

"Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Beijing Isnin lalu mengukuhkan lagi hubungan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menyambut ketibaan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Lapangan Terbang Beijing di sini, malam tadi.

Syed Faizuddin selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpangkalan di Bukit Keteri, Perlis mengetuai delegasi Malaysia terdiri daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dari tujuh institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia dalam program lawatan Kerja Akademik dan Strategik Ketenteraan ke kem tentera dan universiti di Beijing bermula hari ini hingga 17 November. Lawatan itu turut disertai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Brig Jen (K) Datuk Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan selaku Komandan PALAPES UPM dan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Major (K) Datuk Prof Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman selaku Komandan UiTM Perlis.

Wakil IPTA dalam rombongan itu ialah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Iskandar berkata perdagangan antara kedua-dua negara semakin baik manakala kehadiran pelancong China ke Malaysia meningkat dengan positif.

Sehingga Oktober lepas ia meningkat hampir satu juta orang.

"Keterbukaan dan pendirian kerajaan Malaysia dalam isu MH370 selain tekad bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan isu tersebut sangat dihargai oleh kerajaan China," katanya.

Beliau berkata banyak isu lain antaranya isu sarang burung yang telah diselesaikan adalah bukti kerajaan China juga komited mahu melihat hubungan dengan Malaysia, pulih sebaik mungkin. Mengenai dagangan bilateral, beliau berkata strategi komprehensif dua hala untuk tempoh lima tahun dari 2013-2017 disasar mencapai RM160 bilion berada di landasan betul dan pada masa ini ia telah mencecah RM110 bilion.

Iskandar berkata banyak perkara boleh dipelajari dari China, antaranya aspek pertahanan awam dan sukarelawan yang mana China berjaya menggerakkan golongan muda.

"Pasukan ini biasanya sampai dahulu ke tempat bencana sebelum pasukan regular tiba.

"Keupayaan mereka membantu usaha-usaha menyelamat dan bantuan kepada mangsa boleh diadaptasi di Malaysia.

"Semasa persidangan Apec Isnin lepas sebanyak 15,000 sukarelawan digerakkan untuk membantu melicinkan pergerakan, mendisiplinkan orang awam dan kebersihan boleh dicontohi," katamya. - BERNAMA

Berita Harian X