Khamis, 13 November 2014 | 6:48pm

Fiesta Muslimah BH semarak gelombang fesyen tanah air

FIESTA Muslimah BH 2014 di Balai Berita, Bangsar. - Foto Abdullah Yusof
FIESTA Muslimah BH 2014 di Balai Berita, Bangsar. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Akhbar BH buat julung kalinya akan menganjurkan Fiesta Muslimah BH 2014 bagi menyemarakkan gelombang industri fesyen berkonsep muslimah di negara ini.

Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali, berkata sebagai akhbar arus perdana yang berpengaruh sejak 1957, BH mahu terus menjadi platform bagi menyebarkan ilmu dan maklumat dalam pelbagai aspek khusus untuk pembacanya.

"Kami mahu mendekatkan diri dengan pembaca melalui penganjuran Fiesta Muslimah yang sarat dengan pelbagai aktiviti untuk pembangunan muslimin dan muslimat.

"BH juga sentiasa bersedia dan mencari pembaharuan bagi memastikan berita dan maklumat di dalam akhbar ini memenuhi cita rasa semua peringkat umur dan lapisan masyarakat sejajar dengan tagline 'satu untuk semua'," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dan sidang media Fiesta Muslimah BH 2014 di sini, sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Badrulhisham Othman; Pengarang Eksekutif Mingguan/BH2, Zainor Said; Pengarang Bersekutu BH2, Hanizam Abdullah dan Penyelaras Projek Fiesta Muslimah BH2014, Jamiah Shukri.

Sepanjang fiesta yang diadakan di Zebra Square Kuala Lumpur pada 23 November itu, pengunjung berpeluang mendekati personaliti dan usahawan berjaya bagi mendapatkan tip dan petua kejayaan menerusi forum bicara yang diadakan.

Orang ramai juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti lain antaranya pertunjukan fesyen busana muslimah, bual bicara bersama usahawan wanita berjaya dan tutorial pemakaian tudung bersama selebriti Yatt Hamzah.

Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan artis tempatan seperti Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Black, Alyah dan Hafiz Hamidun.

Selain itu, sebanyak 25 gerai jualan yang menawarkan pelbagai produk fesyen muslimah turut disediakan.

Fiesta berkenaan turut sarat dengan aktiviti ilmiah antaranya slot Tips Memburu Kejayaan bersama Datuk Rosyam Nor; Refleksi Muslimah dan Hijrah Selebriti bersama penceramah bebas, Ustazah Isfadiah Dasuki serta pelakon Norman Hakim dan isteri, Memey; slot Klik dan Jana bersama blogger terkenal, Budiey dan usahawan dalam talian, Cufica.

Bagi golongan ibu atau mereka yang gemar memasak, pihak penganjur menyediakan demonstrasi masakan oleh bekas juara Masterchef Malaysia yang pertama, Dr Izani Farhana termasuk perkongsian kisah duka pengasas Bakawali, Nor Rizalina Azhar membangunkan perniagaan tudungnya dan blogger fesyen, Aida Sue yang juga terkenal membuat kerja amal.

Sementara itu, peserta program berkenaan, Noor Hayati Mohd Farook, 28, berkata, Fiesta Muslimah BH yang julung kali diadakan dengan kerjasama BH, Maxis, Sunsilk dan Zalora itu adalah landasan terbaik bagi peminat industri fesyen untuk berkumpul dan berkongsi idea untuk mengembangkan produk masing-masing.

"Penganjuran program ini dilihat sangat tepat dan bersesuaian, tambahan pula ketika ini ramai wanita muslimah dilihat lebih tertarik untuk tampil bergaya dengan rekaan busana yang berimej moden kontemporari namun masih mengekalkan imej muslimah," katanya.

Selain menjadi penceramah, Noor Hayati juga adalah antara vendor yang akan membuka gerai pada hari berkenaan dengan menampilkan lukisan khat dan barangan bayi.

Bagi vendor Jamilah Abdul Kadir, Fiesta Muslimah BH adalah program yang sarat dengan pelbagai maklumat berguna untuk seisi keluarga.

"Di samping dapat menyertai pelbagai aktiviti, kita juga dapat mendekati selebriti yang sudah bergelar usahawan untuk mendalami ilmu bagaimana menjadi seorang usahawan yang berjaya.

"Program ini juga diadakan tepat pada masanya memandangkan wanita berhijab semakin menjadi fenomena dan ikutan masyarakat ketika ini," katanya yang akan menjual busana muslimah pada hari berkenaan.

Program itu bermula dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang dan masuk adalah percuma.

Berita Harian X