Isnin, 10 November 2014 | 1:43pm

Bajet 2015: Sabah terima peruntukan RM4.07 bilion - Musa

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata kerajaan negeri Sabah menerima peruntukan berjumlah RM4.07 bilion dalam Bajet Persekutuan 2015 untuk pelaksanaan pelbagai projek di Sabah.

Katanya, sebanyak RM272.6 juta adalah untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti PPR Kota Belud, PPR Kudat dan Program Perumahan Rakyat (untuk disewa) di Kampung Ketiau, Putatan.

"Sejumlah RM165,585,255 diperuntukkan pada 2015 untuk projek jalan raya luar bandar seperti projek Jalan Maliau Basin, Tawau, projek Jalan Perhubungan Desa Negeri Sabah dan projek Jalan Mini Estet Sejahtera (Mesej) Kg Tampangoh Laut, Penampang," katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias (PKR), Datuk Seri Lajim Ukin, dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, pada 2015 juga, sebanyak RM99,250,000 untuk melaksanakan Projek Bekalan Air Luar Bandar manakala RM578,454,469 pula bagi melaksanakan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar Sabah.

Katanya, RM80,774,000 diperuntukkan untuk usaha penghapusan kemiskinan di Sabah melalui program seperti Program Khas Golongan Bumiputera Minoriti dan Projek Membekalkan Tangki Air ke negeri Sabah.

Musa berkata, kira-kira RM2.9 bilion peruntukan pula diluluskan oleh kerajaan persekutuan untuk pelaksanaan beberapa projek lain termasuk projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) seperti Kelompok Industri Berasaskan Kelapa Sawit, Lahad Datu.

Katanya, peruntukan berkenaan juga adalah untuk pembinaan Loji Air dan Pemasangan Rangkaian Paip di Beaufort, Pembinaan Loji Rawatan Air Keningau, Fasa 2 Projek Pengurangan System Average Interruption Duration Index (SAIDI) di Sabah serta projek Pengukuhan Sistem Penjanaan Melalui Pembinaan Stesen Jana Kuasa Hidro Elektrik Upper Padas, Tenom, berkapasiti 180MW.

"Sesungguhnya, kerajaan negeri yakin dengan pelaksanaan dan penyiapan projek-projek serta program-program yang disebutkan tadi, kualiti hidup semua lapisan masyarakat di negeri Sabah terutamanya penduduk luar bandar dapat diperbaiki dan ditingkatkan," katanya.

Musa berkata, kerajaan negeri berterima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana prihatin dalam membantu menjayakan agenda pembangunan Sabah.

- BERNAMA

Berita Harian X