Isnin, 3 November 2014 | 12:34pm
KETUA Pengawas Pusat Peperiksaan mengambil kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di bilik kebal SMK Anderson di Ipoh pada hari pertama peperiksaan itu hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Pengawas Pusat Peperiksaan mengambil kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di bilik kebal SMK Anderson di Ipoh pada hari pertama peperiksaan itu hari ini. - Foto BERNAMA

455,839 calon duduki SPM hari ini

 SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Menengah St Theresa yang menduduki SPM 2014 di Kuching, hari ini. - Foto NSTP
SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Menengah St Theresa yang menduduki SPM 2014 di Kuching, hari ini. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Sejumlah 455,839 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di 3,655 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini hingga 4 Disember depan.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) daripada jumlah itu, 400,351 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Sebanyak 8,241 calon pula dari sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM, manakala 7,957 calon sekolah menengah agama negeri, 12,066 ialah calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM, 25,701 calon persendirian dan 1,523 calon sekolah menengah agama rakyat.

Tinjauan Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kiaramas di sini mendapati semua calon datang awal bagi mengelak sebarang kemungkinan dan doa dibacakan sebelum peperiksaan bermula.

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) meluangkan masa meninjau keadaan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas, Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Yazit Razali

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan meluangkan masa-masa kira-kira sejam meninjau perjalanan SPM di sekolah itu.

Di IPOH, sebanyak 41,290 calon menduduki peperiksaan SPM di seluruh Perak dan daripada jumlah itu 2,141 adalah calon persendirian serta 49 orang Calon Berkeperluan Khas (CBK), kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Mohd Idris Ramli.

"Kita menyasarkan Perak meraih kedudukan antara lima negeri terbaik dalam peperiksaan SPM yang mana ia dinilai berdasarkan Gred Purata Sekolah," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat 347 pusat peperiksaan disediakan termasuk 38 pusat persendirian selain sekolah di seluruh Perak.

SEORANG pelajar membaca doa sebelum menjawab soalan kertas 1 Bahasa Melayu pada tinjauan hari pertama SPM 2014 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Di KUALA TERENGGANU, sebanyak 21,754 calon SPM menduduki peperiksaan itu di 183 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Hashim Mohamad Zin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 20,198 calon ialah dari sekolah kerajaan, 665 calon Maktab Rendah Sains Mara, 69 calon sekolah agama negeri, 37 calon sekolah swasta dan 785 calon persendirian.

Daerah Kuala Terengganu mencatat calon terbanyak iaitu 7,495 orang dengan 56 pusat peperiksaan diikuti Besut 3,459 calon (27 pusat), Kemaman 2,828 calon (26 pusat), Dungun 2,763 calon (24 pusat), Marang 2,052 calon (19 pusat), Hulu Terengganu 1,785 calon (17 pusat) dan Setiu 1,372 calon (14 pusat).

- BERNAMA

Berita Harian X