Selasa, 28 Oktober 2014 | 7:39pm

Hutang negara RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada KDNK - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2014 adalah sebanyak RM568.9 bilion atau 52.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah itu, 97.1 peratus atau RM552.7 bilion adalah hutang domestik, sementara bakinya RM16.2 bilion atau 2.9 peratus merupakan pinjaman luar pesisir.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan hutang kerajaan itu kekal terurus di bawah 55 peratus daripada KDNK dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Najib berkata hutang Kerajaan Persekutuan tahun lepas adalah sebanyak RM547.6 bilion atau 54.7 peratus daripada KDNK, manakala bagi 2012 pula sebanyak RM501.6 bilion atau 53.3 peratus daripada KDNK.

"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2010 adalah sebanyak RM407.1 bilion atau 51.1 peratus daripada KDNK (dan) 2011 sebanyak RM456.1 bilion atau 51.5 peratus," katanya.

Najib berkata sehingga kini, kerajaan telah membayar balik semua hutang dan bayaran khidmat hutang dengan teratur serta mengikut jadual.

Beliau berkata, ia merupakan hasil daripada pengurusan hutang secara berhemat apabila pinjaman dibuat hanya untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan setelah mengambil kira kemampuan membayar balik.

"Bayaran khidmat hutang, yang merujuk kepada bayaran faedah ke atas pinjaman merupakan bayaran tanggungan mandatori yang perlu diberi keutamaan.

"Bayaran khidmat hutang dijangka kekal terurus pada 10.3 peratus daripada hasil, masih jauh di bawah paras 15 peratus seperti yang ditetapkan dalam peraturan pengurusan fiskal," kata beliau.

- BERNAMA

Berita Harian X