Jumaat, 19 September 2014 | 11:37am

Tidak wajar ada persepsi negatif terhadap guru - Idris

PUTRAJAYA: Masyarakat tidak wajar mempunyai persepsi negatif terhadap guru-guru yang sentiasa komited dan ikhlas dalam mendidik anak-anak mereka rentetan beberapa isu berbangkit ketika ini.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata mereka harus sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada warga pendidik dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang besar itu.

"Majoriti cikgu dan guru adalah baik dan sememangnya kuat bekerja dan amanah. Kita tidak boleh menyalahkan semua kerana ada beberapa yang disyaki dan ditangkap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Idris mengajak pelbagai pihak bersama-sama dengannya mengucapkan 'terima kasih cikgu,' khususnya kepada guru-guru yang mendidik dengan penuh sabar dan kasih sayang.

Sehingga semalam, polis menahan dua guru lelaki berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris, menjadikan jumlah tangkapan 14 orang.

Daripada jumlah itu, 12 yang ditahan adalah guru, selain seorang ejen insurans dan seorang jurutera.

Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 September sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu. - BERNAMA

Berita Harian X