Khamis, 11 September 2014 | 6:10pm

Kementerian cadang penubuhan bank hijau, pengecualian GST produk hijau

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengemukakan cadangan dalam Bajet 2015 untuk menubuhkan bank hijau Islam dan pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas produk hijau.

"Cadangan penubuhan sebuah bank hijau ini adalah satu peningkatan daripada Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) yang dilancarkan pada 2010 untuk menawarkan pinjaman kepada projek-projek hijau melalui pemberi pinjaman komersial," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corp, Ahmad Hadri Haris.

Malaysian Green Technology adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan di bawah bidang kuasa kementerian.

Skim GTFS yang telah meluluskan 145 projek dengan suntikan dana hampir RM2 bilion sehingga Julai tahun ini, menawarkan pembiayaan melalui pemberi pinjaman komersial.

"Pemberi pinjaman komersial memerlukan proses kelulusan yang ketat, seperti penilaian saiz dan modal syarikat, serta nilai komersial untuk projek yang memerlukan dana itu.

"Penubuhan dana modal teroka khusus akan membantu merangsang pertumbuhan teknologi hijau," katanya kepada pemberita semasa pra pelancaran Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa di sini hari ini.

Beliau berkata, bank hijau yang dicadangkan itu akan mengikut model perniagaan Malaysia Venture Capital Management Bhd, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Inc.

"Modal awal bagi bank hijau ini bukan daripada kerajaan, tetapi ia diperoleh di peringkat antarabangsa seperti India, China atau Timur Tengah," kata Ahmad Hadri.

Ahmad Hadri berkata, bank hijau itu disasarkan sebagai dana modal teroka yang mematuhi syariah bagi membezakannya daripada bank hijau lain, seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.

Sementara itu, kementerian juga telah mencadangkan pengecualian GST ke atas produk hijau produk yang mempunyai tanda MyHijau.

Di bawah cadangan itu, mereka yang membeli peralatan penjimatan tenaga elektrik boleh dikecualikan daripada GST yang akan berkuat kuasa pada 1 April tahun depan.

- BERNAMA

Berita Harian X