Rabu, 10 September 2014 | 3:39pm

Kerajaan peruntuk RM1.8b projek transmisi tenaga elektrik di Sabah

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto Edmund Samunting
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memperuntukkan RM1.812 bilion dalam geran bagi melaksanakan projek transmisi tenaga elektrik yang kritikal di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata projek berkenaan termasuk 'Southern Transmission Link' dan lain-lain bagi tempoh 2014-2016 untuk melengkapkan rangkaian penghantaran di Sabah dan bagi membolehkan pengeluar tenaga milik negeri, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengimport kuasa dari Sarawak pada masa depan.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM230.6 juta bagi tempoh 2013-2014 untuk membiayai projek-projek yang bertujuan untuk meningkatkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) di seluruh Sabah.

"Oleh itu, bantuan masih diperlukan daripada kerajaan Persekutuan untuk membantu SESB melaksanakan projek-projek infrastruktur baharu termasuk penghantaran Southern Transmission Link," kata beliau dalam ucaptama pada seminar mengenai kelestarian tenaga hijau untuk Sabah yang lebih mesra alam anjuran Institut Kajian Pembangunan (Sabah) di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Bolkiah Ismail.

Musa juga berkata, kerja menaik taraf grid transmisi baru-baru ini yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Kudat serta grid timur Sabah membantu mengurangkan isu penghantaran.

Selain itu, beliau berkata, beberapa loji kuasa akan beroperasi dan dasar mempelbagaikan loji akan membantu keseluruhan bekalan elektrik.

"Dengan siapnya projek-projek kuasa Kimanis dan SPR Energy contohnya, dijangka dapat menstabilkan penjanaan kuasa. Kedua-duanya adalah loji gas gabungan kitaran kuasa, penyelesaian yang lebih cekap dan bersih berbanding dengan Minyak Bahan Api Medium (MFO) dan kaedah penjanaan tenaga berasaskan diesel.

"Projek tenaga Kimanis dan SPR dijangka menjana sejumlah 385 Megawatt, meningkatkan lagi jumlah kapasiti penjanaan di negeri ini kepada kira-kira 1,400 Megawatt," katanya.

Musa berkata, beliau berharap untuk melihat lebih banyak sumbangan daripada sektor swasta dalam industri ini memandangkan sumber asli yang banyak di negeri ini yang boleh dijadikan tenaga boleh diperbaharui.

- BERNAMA

Berita Harian X