Ahad, 17 Ogos 2014 | 10:33pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

PM sampaikan amanat pada pelancaran sambutan bulan kemerdekaan esok

KEMAMAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka menyampaikan amanat penting pada pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang di Putrajaya esok, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Perdana Menteri dijangka menyampaikan satu amanat penting esok dan ia berkaitan dengan sambutan kemerdekaan serta beberapa perkara yang berlaku kepada negara baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah tamah peringkat Parlimen Kemaman di sini, hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 20,000 orang termasuk penjawat awam akan menghadiri majlis itu.

Katanya, sambutan Kemerdekaan ke-57 negara akan disambut secara sederhana dengan perubahan kepada program sambutan bagi menghormati mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan Penerbangan MH17.

"Semua acara keraian pada sebelah malam termasuk pertunjukan bunga api juga dibatalkan dan diganti yang acara yang lebih sesuai," katanya.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari pesawat itu, yang membabitkan pelbagai negara, bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, pula terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Russia pada 17 Julai lepas.

Pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.

- BERNAMA

Berita Harian X