Jumaat, 21 Jun 2024 | 2:34pm
Syahiran menunjukkan gambar adiknya, Nisya Syahkila yang ditemui maut disyaki dibunuh suaminya di sebuah bilik hotel di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah, semalam. - FOTO NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Syahiran menunjukkan gambar adiknya, Nisya Syahkila yang ditemui maut disyaki dibunuh suaminya di sebuah bilik hotel di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah, semalam. - FOTO NSTP/Muhamad Lokman Khairi

'Arwah adik terima ugutan bunuh berkali-kali sejak setahun lalu'

IPOH: Wanita yang maut dibunuh suaminya di sebuah bilik hotel di Jalan Pejabat Pos, Batu Gajah, semalam dipercayai menerima ugutan jenayah termasuk bunuh berulang-kali sejak lebih setahun lalu.

Mangsa, Nisya Syahkila Shaharun, ditemui dengan kesan tikaman di lokasi kejadian selepas suspek berusia 36 tahun menyerah diri di balai polis jam 2 petang.

Abang mangsa, Syahiran Shaharun, 34, berkata anak kedua daripada enam beradik itu mendirikan rumah tangga dengan suspek dan menetap di Kedah pada tahun 2022.

Bagaimanapun menurutnya, adiknya itu mengadu kepada keluarga bahawa dia kerap dipukul dan diugut suaminya yang culas dalam pemberian nafkah sehinggalah arwah bapa, Shaharun bertegas membawa Nisya Syahkila dan anak lelakinya berusia sembilan tahun pulang ke pangkuan keluarga di Perak pada tahun sama.

"Ini adalah perkahwinan kali kedua arwah. Anak lelaki itu hasil perkahwinan arwah bersama suami pertama.

"Sepanjang tempoh di Perak, arwah sudah beberapa kali membuat laporan polis kerana menerima ugutan menerusi panggilan telefon dan mesej suara secara berterusan.

"Mei lalu, suspek pernah ditahan reman polis selama dua hari sebelum dilepaskan," katanya semasa ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, hari ini.

Syahiran berkata, pada hari kejadian (semalam), Nisya Syahkila dan suspek sepatutnya hadir ke mahkamah syariah untuk prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh.

Adiknya bertindak berani berjumpa dengan suaminya di hotel kerana menyangka lelaki itu mahu menyelesaikan permasalahan rumah tangga mereka secara baik.

"Pada mulanya mak melarang adik bertemu lelaki itu, tetapi arwah yakinkan semuanya akan baik-baik sahaja, malah pada sebelah pagi, dia sempat menghantar anaknya ke sekolah menaiki motosikal sebelum kembali menemui lelaki itu.

"Mungkin arwah adik fikir ini kali terakhir kerana suaminya sebelum ini enggan hadir ke mahkamah walaupun berkali-kali diminta berbuat demikian.

"Suspek tidak rapat dengan keluarga kami, semasa awal perkahwinan dahulu sahaja dia beraya bersama," katanya.

Syahiran berkata, ahli keluarga masih terkejut dengan pemergian Nisya Syahkila yang mesra dipanggil Angah dalam kalangan keluarga, namun berlapang dada dan reda dengan ketentuan Allah.

"Arwah sebelum ini pernah kata dia mahu pergi jauh sekiranya suaminya tak mahu menceraikannya, saya sangka dia mahu tinggal dan bekerja di tempat lain.

"Apabila difikirkan semula, saya tak sangka kata-katanya itu adalah petanda dia akan pergi buat selamanya," katanya memaklumkan jenazah Nisya Syahkila akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah selepas solat Asar, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 27 Jun depan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X