Khamis, 20 Jun 2024 | 8:52pm
Seorang lelaki menyerah diri di Balai Polis Batu Gajah petang tadi, selepas membunuh isterinya dalam kejadian di bilik sebuah hotel dekat Jalan Pejabat Pos. - NSTP/ihsan pembaca
Seorang lelaki menyerah diri di Balai Polis Batu Gajah petang tadi, selepas membunuh isterinya dalam kejadian di bilik sebuah hotel dekat Jalan Pejabat Pos. - NSTP/ihsan pembaca

'Saya sudah bunuh isteri di bilik hotel'

BATU GAJAH: Seorang lelaki menyerah diri di Balai Polis Batu Gajah petang tadi, selepas membunuh isterinya dalam kejadian di bilik sebuah hotel dekat Jalan Pejabat Pos, pusat bandar di sini, hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu datang sendiri ke kaunter aduan Balai Polis Batu Gajah kira-kira 2 petang untuk menyerah diri dengan memaklumkan dia sudah membunuh isterinya dalam bilik di hotel berkenaan.

Difahamkan juga, pembunuhan itu berpunca daripada isu keretakan rumah tangga pasangan terbabit yang menghampiri perceraian, sehingga lelaki itu tergamak membunuh isterinya dengan menggunakan pisau.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, ketika dihubungi mengesahkan pembunuhan yang berlaku serta tindakan suspek tampil menyerah diri di balai polis.

"Ya, benar," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini sewaktu ditanya mengenai kejadian pembunuhan itu serta tindakan suspek menyerah diri di balai polis.

Ditanya mengenai maklumat lain seperti motif pembunuhan serta umur mangsa, Mohd Yusri berkata, siasatan masih berjalan dan kenyataan mengenai kejadian itu akan dikeluarkan kemudian.

Berita Harian X