Khamis, 20 Jun 2024 | 4:17pm
Nurhafizah Nuljin, 5, (kiri) maut dipercayai dilanggar van sekolah semalam. Gambar kanan, Karmin Kahil dan abang arwah, Muhammad Afieq Miqhael, 6. - NSTP/MARY VICTORIA DASS
Nurhafizah Nuljin, 5, (kiri) maut dipercayai dilanggar van sekolah semalam. Gambar kanan, Karmin Kahil dan abang arwah, Muhammad Afieq Miqhael, 6. - NSTP/MARY VICTORIA DASS

Anak bongsu terbaring kaku, tiada lagi suara 'comel' memanggil ibu

PASIR GUDANG: "Tak sangka hilang anak bongsu dalam sekelip mata, mungkin kejadian dapat dielak sekiranya pemandu van sekolah berkenaan lebih berhati-hati," kata Karmin Kahil, 39.

Menurut suri rumah itu, dia masih tidak dapat melupakan kejadian menyayat hati menimpa Nurhafizah Nuljin, 5, yang ditemukan kali terakhir jam 6.40 pagi semalam ketika mahu ke sekolah.

Biasanya, kata wanita itu, Nurhafizah dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael, 6, akan memanggilnya ketika menghampiri pagar rumah selepas turun dari van sekolah, namun semalam dia hanya mendengar panggilan pemandu van sekolah.

Katanya, pemandu wanita itu memintanya keluar rumah untuk melihat keadaan anak bongsunya yang terbaring kaku.

"Dia berulang kali minta maaf, kata sudah melanggarnya sebelum meninggalkan lokasi kerana mahu hantar murid lain. Saya dibantu jiran hantar anak ke Klinik Kesihatan Masai sebelum arwah disahkan sudah tiada," katanya.

Ketika ditemui di kediamannya di Bandar Seri Alam, di sini hari ini, Karmin berkata, kejadian itu mengakibatkan Muhammad Afieq Miqhael trauma kerana dia melihat keadaan Nurhafizah selepas dilanggar.

"Dia menangis setiap kali melihat gambar adiknya atau ketika kami bercerita kejadian yang meragut nyawa arwah. Nurhafizah dibedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan disahkan mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala.

"Urat leher di bahagian belakang kepala juga terputus, mungkin dia terseret dalam kejadian itu. Kami serahkan kepada polis menjalankan siasatan dan ambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Kedua-dua adik-beradik itu belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Alam 2 di sini. Nurhafizah mula menaiki van berkenaan sejak awal tahun ini, manakala Muhammad Afieq Miqhael pula sejak tahun lalu.

Karmin yang berasal dari Sabah dan sudah menetap di Johor selama 20 tahun, berkata dia dan suami, Nuljin Delson, 41, yang juga jurukimpal, reda dengan kejadian menimpa anak mereka.

"Semalam wajahnya berseri-seri seperti biasa," katanya memaklumkan arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Cahaya Masai, Pasir Gudang kira-kira 6 petang semalam.

Berita Harian X