Rabu, 19 Jun 2024 | 6:42pm
KEADAAN tiga kenderaan yang terbabit kemalangan di lampu isyarat Padang Jambu, pagi tadi. NSTP/Ihsan IPD Melaka Tengah
KEADAAN tiga kenderaan yang terbabit kemalangan di lampu isyarat Padang Jambu, pagi tadi. NSTP/Ihsan IPD Melaka Tengah

Penunggang motosikal maut dilanggar kereta ketika beri laluan kepada ambulans

MELAKA: Tindakan murni seorang penunggang Grabfood memberi laluan kepada ambulans dalam kecemasan bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Hilmi Saleh, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata nahas kira-kira jam 9.50 pagi itu membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 50 tahun sedang bergerak dari arah Ayer Keroh menghala ke bandaraya Melaka.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, datang sebuah kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 65 tahun dan mangsa yang menunggang Yamaha 135LC dari sebelah kanan jalan melintas jalan untuk memberi laluan kepada ambulans dari arah sama.

"Akibatnya pemandu Honda Civic yang sedang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau tidak sempat mengelak lalu berlanggar dengan motosikal mangsa dan Proton Wira.

"Pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal maut di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, pemandu Honda Civic yang juga jurujual insurans mengalami sakit pada leher dan dirawat di zon kuning Hospital Melaka manakala pemandu Proton Wira pula hanya cedera ringan.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X