Isnin, 17 Jun 2024 | 11:48am
Wanita berusia 62 tahun dan cucunya (berbaju hitam di tengah) yang sesat semalaman di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, berjaya ditemukan jam 9.30 pagi tadi. - Foto JBPM
Wanita berusia 62 tahun dan cucunya (berbaju hitam di tengah) yang sesat semalaman di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, berjaya ditemukan jam 9.30 pagi tadi. - Foto JBPM

Nenek, cucu sesat semalaman di Bukit Buluh Telur diselamatkan

HULU SELANGOR: Wanita berusia 62 tahun bersama cucu perempuannya yang sesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, di sini ketika mahu ke kebun durian mereka semalam, ditemui selamat.

Wanita terbabit bersama cucunya berusia 12 tahun ditemui pasukan penyelamat, jam 9.30 pagi tadi, kira-kira sejam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata operasi SAR mencari dua sekeluarga itu disambung jam 8 pagi tadi.

"Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan dalam operasi ini sambil dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk Orang Asli.

"Berdasarkan maklumat waris, lokasi mangsa dikesan melalui panggilan telefon, kira-kira satu jam dari 'check point' pertama, iaitu penghujung laluan motosikal," katanya dalam kenyataan.

Semalam, JBPM Selangor menerima panggilan kejadian jam 3.12 petang sebelum lapan anggota dari BBP Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi, yang kemudian ditangguhkan jam 7.20 malam tadi sebelum disambung pagi ini.

Menurut laporan awal, nenek dan cucunya dipercayai ke kebun durian mereka sebelum wanita warga emas berkenaan menghubungi anak sulungnya kira-kira jam 12 tengah hari semalam memaklumkan mereka sesat.

Anak wanita itu kemudian membuat laporan kehilangan ahli keluarganya pada jam 3 petang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian daripada anak mangsa jam 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, pengadu menerima mesej WhatsApp daripada ibunya yang menyatakan sesat dan menunjukkan lokasi terakhir di mana dia berada.

"Pencarian dilakukan keluarga mangsa hingga jam 2.30 petang namun gagal ditemui," katanya.

Selepas itu polis bersama bomba dan APM tiba di lokasi dan melakukan operasi SAR. Turut serta membantu adalah malim gunung dan orang awam.

Berita Harian X