Ahad, 16 Jun 2024 | 1:17pm
Dua syarikat di Johor diminta memberikan justifikasi ke atas kenaikan caj perkhidmatan masing-masing yang diumumkan mereka susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. - Foto hiasan
Dua syarikat di Johor diminta memberikan justifikasi ke atas kenaikan caj perkhidmatan masing-masing yang diumumkan mereka susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. - Foto hiasan

2 syarikat umum kenaikan caj susulan pelarasan subsidi diesel diarah beri justifikasi

JOHOR BAHRU: Dua syarikat di negeri ini diminta memberikan justifikasi ke atas kenaikan caj perkhidmatan masing-masing yang diumumkan mereka susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Ia susulan notis bertulis (NB) yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada mereka Selasa lalu, susulan notis kenaikan harga dikeluarkan yang tular di media sosial.

Pengarah KPDN negeri, Lilis Saslinda Pornomo, berkata dua syarikat itu membabitkan masing-masing yang menyediakan khidmat trak tunda kenderaan di Ulu Tiram dan perkhidmatan pengangkutan di Muar.

"Susulan aduan serta surat kenaikan harga yang tular itu, kita mengeluarkan NB terhadap dua syarikat berkenaan yang disahkan tidak berdaftar dan tidak layak dalam pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS).

"Dua syarikat terbabit perlu melengkapkan NB dengan mengemukakan dokumentasi serta justifikasi ke atas kenaikan caj perkhidmatan mereka dalam tempoh enam hari selepas serahan notis berkenaan dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Op Kesan 2.0 di sebuah pasar basah, di Tampoi, di sini, hari ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo (kiri) mengetuai Ops Kesan 2.0 di sebuah pasar basah, di Tampoi, hari ini. - NSTP/Farid Noh
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo (kiri) mengetuai Ops Kesan 2.0 di sebuah pasar basah, di Tampoi, hari ini. - NSTP/Farid Noh

Mengulas lanjut, beliau berkata KPDN Johor mengeluarkan 22 notis terhadap syarikat termasuk yang menyediakan perkhidmatan trak tunda kenderaan dan perkhidmatan pengangkutan itu susulan pelaksanaan Op Kesan 2.0.

"Baki 20 notis lagi dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada pelbagai syarikat termasuk perkhidmatan pengangkutan, yang berdaftar di bawah pelaksanaan SKDS di negeri ini.

"Notis dikeluarkan kepada syarikat berkenaan bagi memastikan tiada elemen pencatutan ke atas harga dan caj perkhidmatan dilakukan sebelum dan selepas penyasaran subsidi diesel," katanya.

Pada 8 Jun lalu, KPDN mengumumkan pelaksanaan Op Kesan 2.0 bagi memastikan tiada elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, KPDN Johor melaksanakan 50 pemeriksaan menerusi Op Kesan 2.0 dan ia akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada syarikat yang berdaftar SKDS mahu pun yang tidak layak menerima subsidi diesel, mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya.

Berita Harian X