Ahad, 16 Jun 2024 | 1:16pm

Pencuci pinggan 'skodeng' wanita dalam tandas kena jel 5 bulan

BATU PAHAT: Pencuci pinggan yang dicekup ketika mengintai wanita dalam tandas awam sehingga videonya tular di media sosial, Khamis lalu dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Tertuduh, Shee Ah Lai, 24, yang turut mempunyai lapan rekod lampau termasuk mencuri sabun di kedai serbaneka, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibaca jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan seorang wanita berusia 29 tahun dengan cara mengintainya dalam tandas awam wanita di tingkat bawah, Square One Shopping Mall, Jalan Flora Utama, 12.30 tengah hari, 13 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa dilaporkan menggunakan tandas awam terbabit sebelum melihat kelibat lelaki dari tandas sebelahnya.

Mangsa ternampak seorang lelaki sedang mengintainya melalui ruang bawah antara tandas sebelah dengan tandas digunakan wanita itu.

Pada masa sama, mangsa menjerit meminta pertolongan selain turut menjirus air ke arah tertuduh.

Jeritan mangsa didengari pengawal keselamatan yang kemudian menahan tertuduh sedang bersembunyi dalam tandas bersebelahan lalu diserahkan kepada polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu, pihak pendakwaan turut mengemukakan lapan kes lampau pelbagai kesalahan tertuduh termasuk mencuri dan juga pecah rumah kepada mahkamah.

"Berdasarkan kes lampau, pihak pendakwaan mendapati tertuduh tidak pernah insaf malah masih mengulangi kesalahan jenayah. Jadi, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh," hujahnya.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh tertuduh ditahan, 13 Jun lalu.

Tertuduh, Ah Lai dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas dipenjara lima bulan kerana mengintai dalam tandas awam wanita. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Tertuduh, Ah Lai dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas dipenjara lima bulan kerana mengintai dalam tandas awam wanita. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Berita Harian X