Sabtu, 15 Jun 2024 | 11:32pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto fail BERNAMA
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto fail BERNAMA

Dua lelaki didakwa di Singapura disyaki ahli sindiket antarabangsa Trojan Spymax

KUALA LUMPUR: Dua lelaki rakyat Malaysia yang dilaporkan diektradisi ke Singapura, hari ini disyaki ahli satu sindiket penipuan antarabangsa dikenali sebagai Trojan Spymax.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kedua-duanya ditahan di Pulau Pinang dan Johor pada Rabu lalu.

Beliau berkata, penahanan ke atas lelaki berusia 27 dan 48 tahun dilakukan dalam satu operasi oleh pasukan JSJK dan Polis Antarabangsa (INTERPOL) Bukit Aman bersama Pasukan Polis Singapura (SPF).

"Kedua-duanya disyaki ahli sindiket Trojan Spymax yang terbabit secara langsung dengan sindiket penipuan antarabangsa yang giat melakukan penipuan di rantau Asia khususnya di Singapura.

"Dua individu yang ditahan itu berperanan sebagai penjual 'malware' (perisian hasad) dan pengurus sewaan 'server' (pelayan) yang menempatkan fail APK (Android Package Kit)," katanya dalam kenyataan, hari ini

Katanya, polis turut dirampas adalah tiga telefon pintar pelbagai jenama, satu pasport, satu kad pengenalan dan satu jam tangan, dengan anggaran nilai rampasan RM6,000.

"Hasil siasatan, sindiket ini didapati menawarkan jualan produk dan perkhidmatan melalui media sosial Facebook, Instagram dan seumpamanya.

"Mangsa yang berminat untuk membeli produk akan diberikan pautan fail APK yang perlu dipasang (install) ke telefon mereka sebagai sebahagian daripada proses pembelian," katanya.

Ramli berkata, fail APK yang diberikan suspek adalah perisian bersifat 'malicious' (perisian perosak) dan ia boleh menggodam telefon mangsa.

Apabila fail APK itu dibuka, katanya ia memberikan akses kepada sindiket penipuan untuk membaca kata laluan guna sekali (OTP) pada sistem pesanan ringkas (SMS), 'screen mirror', senarai kenalan dan 'remote access' (akses jauh) kepada peranti milik mangsa.

"Operasi ini adalah hasil kerjasama PDRM dan Polis Singapura selama hampir satu tahun dalam mengenal pasti, mengumpul dan mengesahkan data identiti ahli-ahli sindiket yang berselindung di sebalik teknologi internet dan komputer dari beberapa negara berbeza.

"Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak INTERPOL untuk diekstradisi ke Singapura bagi tujuan pendakwaan.

"Melalui tangkapan ini, JSJK percaya ia telah melumpuhkan infrastruktur dan gerak kerja sindiket malware APK ini di rantau ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya PDRM menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memuat turun dan memasang sebarang perisian pada peranti masing-masing.

"Sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hendaklah dilakukan melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja," katanya.

Terdahulu, SPF dalam kenyataan, hari ini memaklumkan dua lelaki rakyat Malaysia dikaitkan dengan penipuan perisian terhadap warga Singapura sejak Jun 2023 sudah diekstradisi dari Malaysia dan akan didakwa hari ini.

Katanya, siasatan awal menunjukkan kedua-dua lelaki itu didakwa kerana mengendalikan pelayan (server) untuk menceroboh telefon mudah alih android dengan aplikasi yang berniat jahat bagi mengawal telefon itu.

Aplikasi itu akan membenarkan scammer mengubah suai kandungan telefon bimbit mangsa dan mendapatkan akses kepada akaun bank mereka.

Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa atas pengubahsuaian bahan komputer tanpa kebenaran.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga S$50,000 (RM 173,500) atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X