Sabtu, 15 Jun 2024 | 8:44pm
Dua daripada empat pendaki keletihan selepas diselamatkan kerana tersesat ketika mendaki Bukit Maras. - NSTP/ ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Dua daripada empat pendaki keletihan selepas diselamatkan kerana tersesat ketika mendaki Bukit Maras. - NSTP/ ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

4 sepupu diselamatkan selepas 3 jam sesat di Bukit Maras

KUALA NERUS: Empat sepupu yang dilapor sesat ketika mendaki di kawasan hutan Bukit Maras, dekat Batu Rakit di sini diselamatkan petang tadi.

Semua pendaki berusia antara 21 hingga 28 tahun dari Kota Bharu, Kelantan itu berjaya dibawa turun ke kaki bukit jam 5.30 petang selepas hampir tiga jam tersesat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada salah seorang mangsa kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Sebaik menerima panggilan itu, katanya pasukan penyelamat bergerak ke lokasi untuk misi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, maklumat awal mendapati empat mangsa terdiri dua lelaki dan dua wanita itu mula mendaki jam 6.50 pagi dan tiba di puncak bukit dua jam kemudian.

"Mangsa memaklumkan mereka tersesat apabila menemui pokok tumbang yang menghalang laluan dan tidak menemui papan tanda ketika mahu menuruni puncak bukit pada jam 12 tengah hari.

"Operasi membabitkan 26 orang terdiri anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bersama penduduk kampung bermula jam 1 petang.

"Pasukan penyelamat mengesan isyarat telefon jam 1.30 petang yang kemudian membawa kepada penemuan semua mangsa sejam kemudian pada jarak lima kilometer dari tangki air Bukit Maras.

"Semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat, namun keletihan dan dibawa turun menaiki pacuan empat roda sebelum tiba di kaki bukit jam 5.30 petang," katanya.

Salah seorang mangsa, Shahrul Amin Nozi, 21, berkata ia pengalaman pertama mereka mendaki Bukit Maras kerana tertarik keindahan pemandangan, namun tidak menyangka boleh tersesat.

"Alhamdulillah, syukur sebab akhirnya menghadirkan orang baik untuk selamatkan kami. Apa yang berlaku ini tidak membuatkan kami serik dan ia dijadikan satu memori untuk kami untuk lebih berhati-hati, " katanya.

Berita Harian X