Sabtu, 15 Jun 2024 | 7:35pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

'Orang dalam' bank ditahan subahat keluar RM24.2 juta dari akaun simpanan

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus bank ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes kehilangan wang dari akaun simpanan tetap membabitkan kerugian berjumlah RM24.2 juta, baru-baru ini.

Wanita berusia 38 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata tangkapan dijalankan susulan empat laporan polis yang diterima polis di daerah Petaling Jaya, dekat sini awal bulan ini berhubung kehilangan wang berkenaan.

Katanya, empat laporan polis itu diterima daripada pengadu terdiri dua pemilik akaun dan kakitangan bank memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap di bank terbabit.

"Semua pemilik akaun terbabit menafikan pengetahuan mereka tentang perkara itu dan tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran sebagaimana didakwa.

"Hasil siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penahanan suspek berusia 38 tahun itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, siasatan setakat ini mendedahkan pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang berkaitan.

Beliau berkata, ia mengambil kira urusan pengeluaran itu hanya boleh dilakukan melalui pakatan dalaman.

"Pasukan penyiasat dalam usaha mengesan dan menangkap beberapa individu lain yang sudah kita kenal pasti," katanya.

Melalui serbuan dijalankan, Ramli berkata polis merampas tiga telefon bimbit berserta kad sim, lapan kad pengeluaran wang (ATM) pelbagai bank, wang tunai RM4,400 serta sebuah komputer riba.

"Polis akan memastikan siasatan kes ini dilaksanakan sebaiknya selaras peruntukan undang-undang bagi memastikan pelaku dihadapkan ke mahkamah.

"Siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan," katanya.

Berita Harian X