Sabtu, 15 Jun 2024 | 10:33am
Keadaan kereta Volkswagen selepas terbabit kemalangan yang mengorbankan dua lelaki dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, Kampung Mengabang Panjang. - Foto PDRM
Keadaan kereta Volkswagen selepas terbabit kemalangan yang mengorbankan dua lelaki dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, Kampung Mengabang Panjang. - Foto PDRM

Dua maut kereta terbabas rempuh pokok

KUALA NERUS: Dua maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Mengabang Panjang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi, pemandu kereta Volkswagen, Samsul Bahri Awang Noh, 50, dan penumpang yang juga cucu saudaranya, Nik Muhammad Syahidan Rosli, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Batu Rakit menghala ke rumah di Jerteh, Besut.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok dan besi enjin air yang berada di bahu jalan sebelah kanan.

"Akibat pelanggaran berkenaan, besi enjin air berkenaan terpelanting dan terkena kereta Proton Iriz yang sedang parking di dalam garaj.

"Pemandu dan penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen41 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987," katanya.

Berita Harian X