Jumaat, 14 Jun 2024 | 6:23pm
Satu kebakaran dilaporkan berlaku di taman tema Genting Skyworlds, Genting Highlands sekitar jam 4.55 petang tadi. - Foto X
Satu kebakaran dilaporkan berlaku di taman tema Genting Skyworlds, Genting Highlands sekitar jam 4.55 petang tadi. - Foto X

TERKINI: Kebakaran di Genting Highlands babitkan pusat beli belah SkyAvenue

KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Berhad mengesahkan berlaku satu kebakaran di pusat beli belah SkyAvenue, Resorts World Genting di Genting Highlands, petang tadi.

Syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan kebakaran dilaporkan bermula pada jam 4.30 petang tadi dan hanya membabitkan bangunan SkyAvenue.

"Pemindahan dilakukan serta-merta bagi memastikan orang awam terhindar bahaya.

"Pasukan bomba kami bertindak segera untuk memadamkan kebakaran. Kami terus memantau keadaan dan akan memberikan kemas kini semasa berkaitan kejadian itu," katanya.

Kebakaran hanya membabitkan pusat beli berkenaan dan tidak menjejaskan kawasan lain di pusat peranginan berkenaan.

Terdahulu, BH melaporkan satu kebakaran dilaporkan berlaku di sebuah bangunan di pusat peranginan Genting Highlands, Pahang, hari ini.

Pihak bomba menerima laporan kejadian kebakaran sekitar jam 4.55 petang tadi.

Berikutan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dibantu anggota dari BBP Bentong digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja memadam kebakaran.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Kanan I Ismail Abdul Ghani yang dhubungi memaklumkan kebakaran tidak membabitkan mangsa.

Katanya, pasukan bomba yang berada di lokasi sudah berjaya mengawal api daripada terus merebak dan sedang meneruskan kerja memadam sisa kebakaran.

Gambar dan video kebakaran itu tular di media sosial.

Berita Harian X