Jumaat, 14 Jun 2024 | 3:25pm
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari (tengah) menunjukkan komponen motosikal curi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini. Foto BERNAMA
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari (tengah) menunjukkan komponen motosikal curi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini. Foto BERNAMA

Polis rampas motosikal curi, komponen bernilai RM50,000

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket mencuri motosikal yang aktif sejak enam bulan lalu dengan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan sekitar Lembah Klang pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata kesemua individu berusia 27 hingga 38 tahun itu ditahan menerusi Ops Lejang Khas pada 13 dan 14 Mei lalu.

"Hasil siasatan mendapati sindiket yang diketuai oleh individu digelar 'Apek' berusia 35 tahun itu mencuri motosikal bersama rakan-rakannya dengan menyasarkan motosikal jenis Yamaha.

"Suspek akan meleraikan dan menjual komponen motosikal kepada rakan-rakan melalui aplikasi WhatsApp serta untuk kegunaan sendiri, manakala rangka motosikal dibuang ke kawasan semak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai komponen motosikal dianggarkan bernilai RM50,000, selain peralatan yang disyaki digunakan untuk mencuri motosikal.

Ahmad Sukarno berkata, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai 18 rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dan dadah serta hasil ujian saringan air kencing adalah negatif.

Beliau berkata, kesemua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan di kawasan berkenaan membabitkan kes kecurian selepas tempoh reman mereka tamat 8 Jun lalu.

Tangkapan itu berjaya menyelesaikan 16 kes kecurian yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Selangor serta kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Berita Harian X