Jumaat, 14 Jun 2024 | 2:53pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bayi patah tangan, pendarahan kepala ketika di rumah pengasuh

CHUKAI: Seorang bayi perempuan patah tangan kiri selain mengalami pendarahan dalam kepala selepas dihantar ke rumah pengasuh di Paya Berenjut, dekat sini, semalam.

Kejadian disedari selepas ibu bayi berkenaan dihubungi pengasuh berusia 29 tahun kira-kira jam 11 pagi memaklumkan anaknya itu demam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ibu mangsa bergegas ke rumah pengasuh dan mendapati bayinya itu tidak bermaya sebelum menghantar mangsa ke hospital berhampiran.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa patah tangan kiri dan mengalami pendarahan dalam kepala.

"Bayi itu kini bagaimanapun dilaporkan stabil dan berada di wad hospital berkenaan untuk rawatan lanjut," katanya.

Hanyan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.30 petang.

"Kita akan siasat kejadian ini secara menyeluruh untuk mengetahui punca termasuk kemungkinan berlakunya pengabaian dan sebagainya," katanya.

"Pihak polis juga akan mengambil keterangan daripada pengasuh terbabit untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita Harian X