Jumaat, 14 Jun 2024 | 9:23am

Anggota polis ditemui meninggal dunia di hentian R&R

NILAI: Seorang anggota polis ditemui meninggal dunia di hentian rehat dan rawat (R&R) lebuh raya di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 5.45 petang.

"Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 25 tahun dan sudah berkahwin dan bertugas di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Malik berkata, Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan membantu melakukan siasatan di tempat kejadian dan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi pihak polis dan dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dijalankan," katanya.

Berita Harian X