Khamis, 13 Jun 2024 | 11:47am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

13 individu dirakam keterangan bantu siasatan kes keracunan makanan - Polis

KUALA LUMPUR: Polis memanggil lima lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes keracunan yang mengakibatkan dua maut selepas makan bihun dan telur goreng di Gombak, Isnin lalu.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan keseluruhan yang sudah dirakam keterangan setakat ini adalah seramai 13 orang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata lima individu terbabit selesai dirakam keterangan, semalam.

"Semalam kita panggil lagi lima individu untuk dirakam keterangan antaranya ahli keluarga mangsa, doktor patologi dan pramusaji.

"Siasatan masih berjalan dan proses rakam keterangan ke atas beberapa individu akan diteruskan pada hari ini," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Semalam, Noor Ariffin mengesahkan sudah merakam keterangan lapan individu bagi membantu siasatan termasuk pembekal makanan.

Kelmarin, media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan, seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas mengambil sarapan pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) di Gombak, Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Katanya, gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit sakit perut, demam, muntah dan loya.

Sebanyak dua kes dilaporkan meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan membabitkan remaja lelaki berusia 17 tahun dan bayi perempuan berusia 19 bulan.

Terdahulu, media melaporkan bayi berusia dua tahun dan lelaki berusia 17 tahun dilaporkan maut selepas mengalami cirit-birit akibat makan bihun dan telur yang dibawa pulang keluarga mereka dari sebuah program sekolah di daerah ini, Sabtu lalu.

Berita Harian X