Rabu, 12 Jun 2024 | 10:43pm
Dua beradik dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian penyelia ladang kira-kira tiga tahun lalu.
Dua beradik dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian penyelia ladang kira-kira tiga tahun lalu.

Bunuh penyelia ladang kerana rogol isteri dan gaji rendah, dua beradik dipenjara 5 tahun

TAWAU: Akibat tidak berpuas hati dibayar gaji rendah, selain mendakwa isteri dirogol, dua bersaudara dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang penyelia ladang kira-kira tiga tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Al Nasir Abdullah, 27 dan adiknya, Al Dimal Abdullah, 22, terlepas hukuman mati apabila diberi peluang membuat pengakuan itu mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan (KK) di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Ketika kedua-duanya dituduh di mahkamah sama buat pertama kali pada 23 Ogos 2023, mereka berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 KK, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Bagaimanapun, ketika prosiding hari ini mereka diberi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(b) KK selepas surat representasi dikemukakan peguam bela masing-masing diluluskan oleh Pejabat Peguam Negara.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina itu didakwa secara bersama membunuh pengurus ladang (mandor) Mark Aquino Conahap, di kawasan perumahan pekerja Ladang Kebun Jaya Estate, Ulu Segama Lahad Datu, di antara jam 6.30 hingga 6.55 pagi pada 17 April 2021.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh datang ke rumah mangsa sambil menjerit kerana tidak berpuas hati dengan gaji yang diberikan, selain Al Nasir yang juga tertuduh pertama mendakwa mangsa merogol isterinya dengan muslihat menyembuhkan secara perubatan tradisional.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan dan menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya sebelum mangsa bertindak turun dari rumah sambil membawa tombak dan cuba menyerang tertuduh tetapi berjaya dielak.

Al Nasir kemudiannya menetak tangan mangsa menggunakan parang yang dibawanya, namun mangsa sekali lagi menyerang tertuduh menggunakan tombak menyebabkan adiknya (Al Dimal) turut bertindak menetak mangsa sehingga mati menggunakan parang miliknya sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain, dalam hujahnya berkata, walaupun terdapat elemen mempertahankan diri oleh tertuduh pertama dan percubaan mempertahankan orang lain oleh tertuduh kedua, ia adalah disebabkan mangsa (si mati) yang membawa senjata bersamanya.

Tegasnya, harus diambil perhatian bahawa kedua-dua tertuduh telah pergi ke rumah si mati dengan melemparkan tuduhan, penganiayaan dan rogol, sambil membawa senjata mereka sendiri sehingga insiden ini berakhir dengan kematian.

Katanya, semua perkara yang dibangkitkan oleh kedua-dua peguam bela tertuduh telah dipertimbangkan oleh Pejabat Peguam Negara sehingga tuduhan alternatif dikemukakan pada prosiding hari ini.

"Oleh kerana kedua-dua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan, maka pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 KK digugurkan" katanya.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, selain dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Berita Harian X