Rabu, 12 Jun 2024 | 6:20pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Lelaki cederakan teman wanita, rosakkan harta didenda RM4,000

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencederakan teman wanitanya serta merosakkan komputer riba dan telefon milik wanita itu, tiga bulan lalu.

Majistret Aina Azahra Ariffin menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Mohammed Adam Wan Mohammed Hazerrey, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan serta turut memerintahkan lelaki itu dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah memukul, menendang, menumbuk, menampar dan mencekik di bahagian muka, badan serta kepala teman wanitanya, Lee May Wen Andrea, 30, manakala bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa atas pertuduhan melakukan khianat iaitu memecahkan komputer riba dan telefon bimbit milik teman wanitanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Sentul di sini pada 1 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 5 pagi, 1 Mac lalu, pengadu (teman wanita) telah melihat tertuduh bertindak agresif dengan cara melompat, menjerit dan cuba membuka pintu di balkoni untuk melompat ke bawah.

Pengadu dan rakannya cuba menghalang dan menenangkan tertuduh namun dia telah dipukul sehingga cedera di pipi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Izzat Amir memohon agar hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran manakala tertuduh dalam rayuannya memohon agar hukuman ringan diberikan atas alasan dia mengalami gangguan bipolar. – BERNAMA

Berita Harian X