Rabu, 12 Jun 2024 | 1:45pm

Pembantu penguat kuasa JPJ didakwa terima rasuah RM3,300

IPOH: Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,300 pada 2017 dan 2018.

Saibullah Zaid Abdul Halim, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Menurut pertuduhan, lelaki itu didakwa sebagai penjawat awam bertugas di JPJ Pulau Pinang menerima untuk diri sendiri barang berharga tanpa suatu balasan wang RM1,500 (pertuduhan pertama), RM600 (masing-masing pertuduhan kedua dan ketiga) serta RM300 (masing-masing pertuduhan keempat dan kelima).

Wang itu diterima daripada pengarah sebuah syarikat melalui akaun bank milik isterinya yang berusia 47 tahun berkaitan kerja-kerja penguatkuasaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap lori milik syarikat berkenaan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank Cawangan Kuala Kangsar antara Oktober 2017 hingga Mac 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman dan Noor Azura Zulkiflee, sementara tertuduh diwakili peguam Mohamed Firdaus M Farouk.

Terdahulu, Afiqa Liyana mencadangkan wang jaminan RM8,000 dikenakan untuk kelima-lima pertuduhan, selain dokumen perjalanan tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan perlu melapor diri kepada pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohamed Firdaus memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan tiga anak yang masih belajar selain mungkin hilang pekerjaan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 untuk lima pertuduhan itu serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan tanpa gagal.

Mahkamah menetapkan 16 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Berita Harian X