Selasa, 11 Jun 2024 | 8:17pm

Kehadiran ibu Zayn Rayyan ke lokasi sebahagian proses siasatan - Polis

SHAH ALAM: Kehadiran ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin di kediaman serta lokasi mayat kanak-kanak autisme itu ditemukan adalah sebahagian proses melengkapkan siasatan kes.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia antara prosedur perlu dilaksanakan sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, perkembangan lanjut sama ada siasatan kes itu sudah lengkap atau sebaliknya serta status reman ibu bapa kanak-kanak berkenaan akan dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

"Mengenai reman ibu bapa Zayn Rayyan, saya tidak dapat berkongsi apa apa (perkembangan) pada petang ini.

"Tunggu… mungkin Pengarah JSJ akan beri kenyataan berkaitan perkembangan kes ini," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Semalam, ibu kepada Zayn Rayyan dibawa semula ke kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai serta lokasi mayat ditemukan berhampiran rumah mereka, dipercayai untuk melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak sehingga mayatnya ditemui.

Pada Jumaat lalu, Hussein dilaporkan berkata tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.

Katanya, keterangan tidak konsisten antara faktor tempoh reman ibu bapa kanak-kanak autisme itu disambung.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Berita Harian X