Selasa, 11 Jun 2024 | 5:05pm
Mohd Zezeli menunjukkan kediaman jirannya, pasangan suami isteri yang ditahan polis susulan budak perempuan lima tahun maut disyaki didera. - Foto pembaca
Mohd Zezeli menunjukkan kediaman jirannya, pasangan suami isteri yang ditahan polis susulan budak perempuan lima tahun maut disyaki didera. - Foto pembaca

Dera, bunuh anak angkat: Jiran kerap dengar suara budak menangis

IPOH: Budak perempuan lima tahun yang meninggal dunia disyaki didera ibu dan bapa angkatnya di Taman Malcop, Silibin di sini dikatakan kerap menangis dan dimarahi individu dipercayai bapa angkatnya.

Jiran keluarga itu, Mohd Zezeli Abdul Latif, 58, berkata dia hanya menyedari kehadiran budak itu di kawasan perumahan mereka sejak dua bulan lalu.

Katanya, bapa angkat mangsa berusia 66 tahun itu sudah lama menetap di taman perumahan berkenaan tetapi tidak ramah dengan jiran tetangga.

Menurut Mohd Zezeli yang hanya berjiran sebelah rumah dengan keluarga mangsa, isterinya kerap mendengar tangisan kanak-kanak itu serta suara seorang lelaki dalam nada tinggi seakan menjerit ketika berada di halaman rumah.

"Pernah juga dengar suara lelaki itu menjerit dan meminta anaknya mencari barang, mungkin dia marah sebab ada barang yang hilang.

"Setahu saya, lelaki itu tinggal bersama isterinya sahaja sebelum kanak-kanak itu muncul dalam tempoh dua bulan ini," katanya ditemui di rumahnya, hari ini.

Katanya lagi, dia hanya mengetahui kejadian menimpa budak itu selepas melihat banyak kereta peronda polis di hadapan rumah itu.

Seorang lagi jiran, N. Gandhi, 74, berkata mangsa adalah seorang kanak-kanak yang comel serta ceria, dan pernah menyapanya namun mengakui dia tidak pernah melihat mangsa bermain di luar atau halaman rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan mangsa hanya mula dibela dan dijaga oleh ibu angkatnya itu sejak April lalu.

Dalam pada itu, difahamkan bahawa kanak-kanak itu adalah anak kepada rakan ibu angkat mangsa yang terbabit dalam kes itu.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan ibu dan bapa angkat mangsa direman enam hari bermula hari ini hingga Ahad susulan kematian budak itu yang disyaki akibat didera untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X