Isnin, 10 Jun 2024 | 4:13pm
Api sedang marak memusnahkan rumah setinggan yang terletak bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu, hari ini. NSTP/Juwan Riduan
Api sedang marak memusnahkan rumah setinggan yang terletak bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu, hari ini. NSTP/Juwan Riduan

15 rumah setinggan musnah terbakar

KOTA KINABALU: Sebanyak 15 rumah yang dikatakan didirikan secara haram di kawasan setinggan bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu bagaimanapun setakat ini tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.53 tengah hari.

Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ke lokasi kejadian bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke tempat kejadian bagi mengawal api daripada terus merebak.

"Kebakaran membabitkan anggaran 15 rumah setinggan jenis tidak kekal yang musnah terbakar 100 peratus.

"Pasukan bomba yang berada di lokasi kejadian sedang berusaha untuk mengawal kebakaran dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Riki Mohan berkata, operasi turut dibantu agensi lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Sabah Electricity Sdn Bhd.

Sementara itu, kebakaran dipercayai berlaku akibat litar pintas ketika operasi merobohkan rumah setinggan yang dijalankan pihak berkuasa.

Difahamkan, terdapat banyak pendawaian haram di lokasi kejadian, selain struktur rumah kayu mempercepatkan lagi api merebak.

Berita Harian X