Isnin, 10 Jun 2024 | 2:59pm
Anggota bomba terpaksa menggunakan jengkaut dalam operasi memadam kebakaran di kawasan pusat pelupusan sampah daerah Besut di Kampung Paya Rawa, di sini, hari ini. -Foto NSTP/ Nurul Fatihah Sulaini
Anggota bomba terpaksa menggunakan jengkaut dalam operasi memadam kebakaran di kawasan pusat pelupusan sampah daerah Besut di Kampung Paya Rawa, di sini, hari ini. -Foto NSTP/ Nurul Fatihah Sulaini

Hampir 100 jam padam kebakaran sampah

BESUT: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut mengambil masa hampir 100 jam untuk memadam kebakaran di kawasan pusat pelupusan sampah daerah Besut di Kampung Paya Rawa, di sini.

Kebakaran itu dipercayai berlaku sejak Jumaat lalu merebak daripada satu hektar kepada 1.9 hektar dalam tempoh tiga hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, operasi pemadaman bermula sejak 8 pagi sehingga 8 malam Jumaat lalu hingga semalam dengan pemantauan berterusan dilakukan pada waktu malam.

"Operasi memadamkan kebakaran itu membabitkan 25 kekuatan anggota dan pegawai daripada bomba, dibantu pihak syarikat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Majlis Daerah Besut (MDB).

"Hasil kerjasama semua pihak, empat hektar daripada enam hektar kawasan ini berjaya diselamatkan daripada terbakar," katanya ditemui di Pusat Pelupusan Sampah daerah Besut di Kampung Paya, di sini, hari ini.

Azrul berkata, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

"Walaupun kebakaran ini berjaya dipadamkan namun pemantauan berterusan tetap dijalankan bagi mengesan jika berlaku kebakaran baru di lokasi sama atau lokasi baru.

"Orang ramai diingatkan tidak membuat pembakaran secara terbuka bagi mengelakkan kebakaran akan merebak dalam skala besar," katanya.

Kejadian kebakaran pada Jumaat lalu itu adalah insiden yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas kejadian kali pertama berlaku pada pertengahan Mei lalu.

Keluasan pusat pelupusan sampah itu kira-kira enam hektar .

Berita Harian X