Ahad, 9 Jun 2024 | 11:05pm
Foto hiasan - FAIL NSTP
Foto hiasan - FAIL NSTP

Wanita maut dikelar suami di leher, tangan

KLANG: Seorang wanita mati selepas dipercayai dikelar suami sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Botanik, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada adik lelaki suspek pada jam 7.58 pagi.

"Siasatan awal mendapati ia berlaku pada jam 7 pagi dan mangsa yang berusia 28 tahun ditemui terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan.

"Pasangan itu berkahwin dua tahun lalu dan mempunyai seorang bayi perempuan berusia enam bulan.

"Difahamkan, pasangan itu mempunyai mempunyai masalah rumahtangga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hoong Fong berkata, bedah siasat ke atas mangsa menemui 12 luka hiris di beberapa bahagian badan termasuk leher, pipi, telinga, lengan, kepala serta jari.

"Punca kematian adalah luka kelar di leher. Suami mangsa yang berusia 31 tahun direman tujuh hari sehingga 14 Jun ini untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan beberapa saksi akan dipanggil untuk dirakam percakapan termasuk ahli keluarga terdekat.

Berita Harian X