Sabtu, 8 Jun 2024 | 12:12pm
Keadaan lori yang terbabas dan terbalik di dalam longkang di Kilometer 23, Jalan Kota Belud-Kota Marudu, malam tadi. - Foto PDRM
Keadaan lori yang terbabas dan terbalik di dalam longkang di Kilometer 23, Jalan Kota Belud-Kota Marudu, malam tadi. - Foto PDRM

Lelaki maut lori dipandu terbabas, terbalik dalam longkang

KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas dan terbalik di dalam longkang di Kilometer 23, Jalan Kota Belud-Kota Marudu, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.38 malam itu, mangsa berusia 41 yang memandu lori jenis Nissan membawa muatan barang-barang kepingan getah dari arah Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata lori dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang kiri lalu berpusing sebelum terbalik dalam keadaan melintang di tengah jalan.

"Pemandu lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini dan memaklumkan, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud turut berada di lokasi kejadian bagi membantu operasi mengeluar mangsa dari dalam kenderaan berkenaan.

Berita Harian X