Jumaat, 7 Jun 2024 | 7:16pm
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang dihempap jengkaut di lereng bukit di Taman Tasek Semeling, Bedong, hari ini. - FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang dihempap jengkaut di lereng bukit di Taman Tasek Semeling, Bedong, hari ini. - FOTO IHSAN BOMBA

Maut dihempap jengkaut dikendali sendiri

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut selepas jengkaut dikendalikannya terbalik ketika melakukan kerja membuat jalan di lereng bukit di Bedong di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa berusia 39 tahun itu dihempap jengkaut dan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I, Ismail Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.10 petang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani diketuai Pegawai Bomba Kanan II Azlan Abdul Aziz tiba di lokasi bersama sembilan anggota.

"Mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, anggota menggunakan peralatan khas dan dibantu jengkaut lain untuk mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X