Selasa, 4 Jun 2024 | 5:50pm
Napisah Muhamad berada di dalam kereta ketika kenderaan dicuri. - FOTO TV3
Napisah Muhamad berada di dalam kereta ketika kenderaan dicuri. - FOTO TV3

Pencuri kereta tarik bahu tak bagi mak cik keluar - Mangsa

KUANTAN: "Dia pegang bahu mak cik sebaik masuk ke dalam kereta dan suruh diam," kata warga emas, Napisah Muhammad, 68, selepas seorang lelaki melarikan kereta di sebuah stesen minyak di Semambu, di sini, semalam.

Ketika kejadian, warga emas berkenaan berada di tempat duduk penumpang hadapan tidak sempat untuk keluar daripada kenderaan itu.

"Mak cik meronta dan nekad untuk terjun tetapi bahu dipegang dan lelaki itu tarik untuk pastikan makcik tidak keluar.

"Lelaki itu cakap kau nak keluar, kau berambus dan perlahankan kereta sebelum menolak mak cik keluar daripada kereta," katanya.

Napisah berkata, beliau terkejut kerana berlaku terlalu pantas tetapi bersyukur kerana selamat.

"Mak cik nasihatkan supaya mereka yang berada di dalam kenderaan supaya mengunci pintu demi keselamatan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 3.10 petang itu, warga emas bersama suami dan anak perempuan yang menaiki kereta singgah di stesen minyak untuk mengisi minyak dan ke tandas.

Sebaik saja anak perempuan keluar dari kereta, suspek masuk dan melarikan kenderaan itu ketika warga emas yang berada di tempat duduk penumpang hadapan ditinggalkan kira-kira 400 meter dari stesen minyak berkenaan.

Berita Harian X