Selasa, 4 Jun 2024 | 12:13am
Orang ramai diminta waspada, jangan muat turun sebarang APK. - Foto hiasan
Orang ramai diminta waspada, jangan muat turun sebarang APK. - Foto hiasan

Orang ramai diminta waspada, jangan muat turun sebarang APK

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta berwaspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi (APK) ke telefon pintar yang diterima melalui mesej dan e-mel, serta hanya berbuat demikian melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata hal ini kerana penggodaman telefon pintar ialah modus operandi yang sering digunakan penjenayah untuk tujuan mencuri data dan mengakses maklumat kewangan.

Beliau berkata, antara taktik yang dikesan masih digunakan sejak pertengahan 2023 ialah penyebaran mesej jemputan perkahwinan melalui APK yang ditanam "perisian hasad" atau malware bagi mencuri data dan mendapatkan butiran kewangan mangsa.

Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf
Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

"Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mesej jemputan perkahwinan terbabit biasanya akan dihantar oleh penjenayah yang menyamar sebagai kenalan mangsa, sekiranya mangsa memuat turun dan memasang aplikasi itu, penjenayah akan memperoleh akses penuh terhadap telefon mangsa tanpa disedari," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, akses ini akan membolehkan penjenayah mencuri data milik mangsa malahan boleh mengakibatkan mangsa mengalami kerugian wang ringgit.

"PDRM percaya taktik itu menyasarkan mangsa dalam kalangan individu yang kurang pengetahuan berkaitan teknologi," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X