Ahad, 2 Jun 2024 | 12:38pm
Ayam sejuk beku diserahkan kepada pihak Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Kelantan dan Penjara Penor, Pahang, di pintu Masuk Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu. Foto ihsan MAQIS
Ayam sejuk beku diserahkan kepada pihak Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Kelantan dan Penjara Penor, Pahang, di pintu Masuk Bukit Kayu Hitam, Jumaat lalu. Foto ihsan MAQIS

MAQIS serah lebih 2.1 tan rampasan ayam sejuk beku untuk makanan ternakan ikan

BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah menyerahkan sumbangan bekalan makanan haiwan bernilai lebih RM40,608 untuk dijadikan makanan ternakan di pusat pemulihan akhlak dan penjara.

Pengarah MAQIS Kedah, Hisham Abu Bakar, berkata sumbangan itu membabitkan lebih 2.1 tan keratan ayam sejuk beku yang diserahkan kepada pihak Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Kelantan dan Penjara Penor, Pahang, Jumaat lalu.

Katanya, sumbangan bagi memenuhi keperluan bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan ternakan ikan keli di bawah program rehabilitasi agensi terbabit.

"Untuk makluman, kesemua serahan ini adalah daripada hasil sitaan pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses undang-undang dan yang telah dilucuthakkan kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti mana yang tertakluk

di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"MAQIS tidak akan berkompromi terhadap semua barang dagangan yang melibatkan isu biosekuriti terutamanya yang melibatkan aspek halal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X