Jumaat, 31 Mei 2024 | 9:29am

Lima cedera bas rempuh treler di Lebuhraya PLUS

IPOH: Lima individu termasuk dua wanita mengalami kecederaan apabila sebuah bas ekspres yang dinaki mereka, merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 290 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dan Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan itu menyebabkan pemandu bas tersepit dan empat orang penumpang cedera. Bas yang membawa 26 penumpang itu dipercayai dalam perjalanan menghala ke selatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata pihaknya telah mengeluarkan mangsa yang tersepit serta memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera, sebelum mereka dihantar ke hospital yang berhampiran untuk menerima rawatan selanjutnya.

Beliau berkata mangsa yang tidak cedera dihantar ke destinasi yang dituju menggunakan bas ekspres lain dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.45 pagi.

– BERNAMA

Berita Harian X