Khamis, 30 Mei 2024 | 12:31pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pemimpin persatuan OKU dipenjara tiga hari, denda RM80,000 kerana pecah amanah

IPOH: Seorang pemimpin persatuan orang cacat dihukum penjara tiga hari dan denda RM80,0000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah berkaitan transaksi penjualan tanah milik persatuan itu di antara November 2019 hingga Januari 2020.

Tertuduh, Kamarulzaman Abdullah, 65, membuat pengakuan bersalah terhadap tiga pertuduhan itu sejurus dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dengan peranannya sebagai Presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Negeri Perak yang diamanahkan dengan hasil jualan dua bidang tanah Lot. 536339 dan Lot. 536340 di Kampung Tengku Husin Baharu, Ipoh milik persatuan itu bernilai RM540,000 didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan sebahagian wang itu yang berjumlah RM413,974 kepada lima akaun bank peribadi miliknya sendiri.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh dengan peranan yang sama, didakwa melakukan pecah amanah berkaitan jualan dua bidang tanah sama dengan memindahkan sebahagian wang penjualan tanah berkenaan berjumlah RM30,000 kepada akaun milik Lesung Mart yang dimiliki anak tirinya, Haryani Sulaiman, 48.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pecah amanah dengan memindahkan sebahagian wang jualan tanah itu berjumlah RM48,500 kepada akaun Syarikat Inayrah Enterprise yang juga dimiliki Haryani selaku anak tirinya.

Ketiga-tiga perbuatan itu masing-masing dilakukan pada bulan Disember dan November 2019 serta Januari 2020 di Maybank Cawangan Gunung Rapat, di sini.

Kesemua pertuduhan itu dibaca mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor bersama Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara satu (1) hari berjalan serentak dari tarikh jatuh hukuman dan denda RM40,000 atau penjara empat bulan jika gagal bayar.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dipenjara sehari dan denda RM20,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut mengarahkan wang tunai yang disita berjumlah RM11,200 dilucuthakkan mengikut Seksyen 40(1) (a) Akta SPRM (ASPRM) 2009 kepada Kerajaan Malaysia.

Selain itu, turut dikenakan perintah sita dan pelucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia itu adalah wang simpanan berjumlah keseluruhan RM49,903 termasuk faedah sehingga 30 Mei 2024 daripada lima akaun peribadi tertuduh yang terbabit dalam pecah amanah itu.

Berita Harian X