Ahad, 26 Mei 2024 | 1:14pm
 Muhammad Latiff Daud (baju oren) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku pulas dan ugut tangan wanita. - Foto NSTP/Alias Abd Rani
Muhammad Latiff Daud (baju oren) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku pulas dan ugut tangan wanita. - Foto NSTP/Alias Abd Rani

Pemuda didenda RM4,800 kerana cederakan gadis enggan berkawan di media sosial

BATU PAHAT: "Boleh kurangkan lagi tak denda? demikian rayu seorang pembantu kedai makan yang didenda RM4,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan serta melakukan ugutan jenayah terhadap dua pekerja kedai serbaneka pada Isnin lalu.

Tertuduh, Muhammad Latiff Daud Osman, 27, berhadapan dua pertuduhan termasuk memulas tangan seorang wanita kerana menyekatnya di media sosial, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 24 tahun dalam kejadian di Taman Orchid Height di sini, jam 6.40 petang pada 20 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit boleh didenda maksimum setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa cuba menakutkan secara jenayah dengan mengugut mangsa berusia 21 tahun dengan kata-kata 'kau tunggu jangan sampai aku tetak kau' di mana kejadian ini berlaku pada waktu, tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke tempat kerja mangsa kerana marah wanita itu menyekat untuk menjadi kenalan di media sosial.

Pertemuan itu mencetuskan pertengkaran sebelum tertuduh menarik dan memulas tangan mangsa. Rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba meleraikan, sebaliknya turut diugut oleh tertuduh.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan menerima rawatan manakala rakannya mengalami ketakutan akibat ugutan tetak terhadapnya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama, manakala RM1,800 untuk pertuduhan kedua.

Pada masa sama, mahkamah memutuskan tertuduh boleh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar kedua-dua denda dikenakan terhadapnya.

Berita Harian X