Jumaat, 24 Mei 2024 | 8:09pm
Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. - Foto fail NSTP
Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. - Foto fail NSTP

Skim penipuan pelaburan 'MIDF Investment' catat kerugian lebih RM2 juta

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 72 laporan membabitkan kerugian lebih RM2.05 juta daripada mangsa sindiket penipuan pelaburan yang menggunakan nama 'MIDF Investment'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya telah mengesan sindiket yang sedang aktif menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi Facebook.

"Sindiket turut menggunakan logo Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) Berhad, sebuah syarikat milik Malaysia Building Society Berhad (MBSB), dipercayai untuk mengelirukan mangsa.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu menawarkan keuntungan yang tinggi hanya dalam tempoh tiga hingga enam jam selepas pelaburan dibuat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramli berkata, lapan pakej pelaburan ditawarkan dari serendah RM300 (keuntungan RM 13,999) sehingga RM5,000 (keuntungan RM 99,999).

"Pembayaran wang pelaburan yang dibuat oleh mangsa akan dimasukkan ke akaun bank persendirian, dipercayai adalah milik akaun keldai.

"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan," katanya.

Beliau berkata, penggunaan akaun persendirian untuk menerima wang pelaburan juga merupakan tanda amaran (red flag) bahawa skim pelaburan tersebut adalah meragukan.

Untuk rekod, pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia telah menyenaraikan 'MIDF Investment di dalam 'alert list' masing-masing.

Berita Harian X