Khamis, 23 Mei 2024 | 12:49pm
Senjata api buatan sendiri ‘bakakuk’ yang disyaki digunakan lelaki tertembak dua rakan disangkanya rusa di Kampung Gaur, Kota Belud, semalam. - Foto PDRM
Senjata api buatan sendiri ‘bakakuk’ yang disyaki digunakan lelaki tertembak dua rakan disangkanya rusa di Kampung Gaur, Kota Belud, semalam. - Foto PDRM

Tertembak 2 rakan disangka rusa

KOTA BELUD: Seorang lelaki tertembak dua rakannya yang disangka rusa ketika mereka berada di kawasan kebun di Kampung Gaur, di sini.

Difahamkan, kejadian itu ketika kedua-dua mangsa sedang mencari herba tumbuh-tumbuhan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata polis menerima maklumat kejadian pada jam 3.08 pagi semalam daripada Unit Kecemasan Hospital Kota Belud.

"Pihak hospital maklumkan dua pesakit lelaki diberikan rawatan dipercayai terkena tembakan. Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan merampas selaras senapang patah buatan sendiri 'bakakuk'.

"Turut dirampas satu kelongsong peluru bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa dan suspek masuk bersama ke kawasan kebun itu sebelum mereka berpecah haluan.

"Suspek melepaskan tembakan ke arah dua-dua mangsa yang disangkanya rusa. Kedua-dua mangsa cedera bahagian perut, paha serta kaki dan terus dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

"Siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dibaca bersama Seksyen 37 akta sama. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman tujuh tahun penjara atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berita Harian X