Khamis, 23 Mei 2024 | 12:25pm

'Kawasan Langkap, kampung aku ni...' - Ketua Polis Perak

IPOH: "Kawasan Langkap, kampung aku ni".

Itu reaksi Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam nada berseloroh ketika membacakan kenyataan media mengenai kejayaan polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Langkap.

Menurutnya, serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ke sebuah rumah pada Isnin lalu berjaya menahan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama lebih 9 kilogram (kg) heroin.

Katanya, suspek yang juga penganggur disyaki mula terbabit mengedar dadah yang bekalannya diperoleh dari negeri sebelah selatan sejak mula masuk ke Malaysia secara tidak sah pada Mac lalu.

"Pemeriksaan di rumah terbabit menjumpai 20 paket plastik lutsinar berisi heroin dengan anggaran berat 9,010 gram (g) dianggarkan bernilai RM110,000 yang diletakkan dalam sebuah beg beroda berzip warna 'rose gold'.

"Warga Indonesia berusia 40 tahun itu ditahan. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine, namun semakan mendapati dia tiada sebarang rekod jenayah.

"Siasatan awal mendapati aktiviti pengedaran dadah ini sejak Mac lalu. Dadah yang dirampas disyaki untuk edaran di Perak, boleh menampung 11,000 penagih," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, suspek ditahan reman tujuh hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan. - NSTP/L Manimaran
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X