Selasa, 21 Mei 2024 | 12:16pm
Lelaki memanjat pencawang elektrik di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman di Jitra, Kedah, semalam. - Foto BOMBA
Lelaki memanjat pencawang elektrik di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman di Jitra, Kedah, semalam. - Foto BOMBA

'Spiderman' panjat pencawang elektrik kena tahan

JITRA: Lelaki yang memanjat pencawang elektrik di Kampung Muhibbah, Bandar Darulaman, di sini petang semalam, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata hasil siasatan mendapati lelaki berusia 39 tahun itu beralamat di Batu Kurau, Perak.

Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan akan dirujuk ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk ujian saringan air kencing, hari ini.

"Dalam kejadian semalam, bilik gerakan IPD Kubang Pasu menerima maklumat daripada orang awam pada jam 6.24 petang yang memaklumkan seorang lelaki memanjat pencawang elektrik itu.

"Berikutan itu anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota Balai Polis Jitra tiba di lokasi dan mendapati suspek masih berada di atas pencawang berkenaan.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kubang Pasu dan ambulans turut berada di lokasi untuk melakukan penyelamatan.

"Suspek berjaya dibawa turun pada 8.45 malam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki bertindak berani dengan memanjat pencawang elektrik sehingga menimbulkan ketakutan orang ramai di kampung berkenaan.

Aksi lelaki terbabit memanjat pencawang bagaikan 'Spiderman' itu yang boleh membahayakan nyawa kerana arus voltan elektrik tinggi, turut dirakam orang awam yang memenuhi kawasan berkenaan.

Berita Harian X