Isnin, 20 Mei 2024 | 1:05pm
Mohd Azizi melihat kediamannya yang musnah terbakar di Kampung Pauh, malam tadi. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Mohd Azizi melihat kediamannya yang musnah terbakar di Kampung Pauh, malam tadi. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Rumah musnah terbakar, enam beranak tinggal sehelai sepinggang

KOTA BHARU: Enam beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman yang dihuni mereka di Kampung Pauh musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Mohd Azizi Idris, 43, berkata, ketika kejadian dia, isteri, Norhayati Abdullah, 40, serta empat anak mereka berusia tiga hingga 16 tahun tidak berada di rumah kerana keluar membeli barang di bandar Pengkalan Chepa.

Katanya, selepas 10 minit keluar dari rumah, dia menerima panggilan daripada adiknya pada jam 9.20 malam yang tinggal bersebelahan memaklumkan kediaman mereka sedang terbakar.

"Kami sekeluarga kemudiannya berpatah balik dan membatalkan niat untuk ke bandar. Sebaik tiba di perkarangan rumah tidak ada apa yang dapat diselamatkan kerana api terlalu marak, namun bersyukur tidak ada kemalangan jiwa.

"Apa yang lebih menyedihkan, duit raya anak-anak yang berjumlah RM3,500 hangus dan keseluruhan kerugian dianggarkan kurang RM50,000," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Nik Asma' Bahrum Nik Abdullah turut menziarahi keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban.

Mohd Azizi yang bekerja sendiri berkata, kediaman yang dihuni mereka sekeluarga itu baharu saja dibaiki pada Ogos tahun lalu dengan menggantikan dinding yang reput akibat dimakan anai-anai menggunakan bantuan E-Kasih.

"Selain kehilangan rumah, anak-anak paling terkesan kerana kelengkapan sekolah mereka juga terbakar.

"Buat sementara waktu, kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara berdekatan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Zaidi Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.27 malam dan tiba di lokasi 19 minit kemudian.

Katanya, seramai 18 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

"Kediaman separuh kekal terbakar 100 peratus dan ketika kejadian rumah itu tidak berpenghuni. Punca dan kerugian masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.18 malam," katanya.

Berita Harian X