Jumaat, 17 Mei 2024 | 11:16am
Jemaah masjid membantu arwah yang tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia selepas selesai solat Maghrib di Masjid Zahir, Alor Setar, semalam. - Foto ihsan pembaca
Jemaah masjid membantu arwah yang tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia selepas selesai solat Maghrib di Masjid Zahir, Alor Setar, semalam. - Foto ihsan pembaca

Jemaah wanita meninggal dunia selesai solat Maghrib di Masjid Zahir

ALOR SETAR: Seorang jemaah wanita meninggal dunia selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Zahir, di sini, semalam.

Pegawai Media Masjid Negeri, Muhd Azam Abdullah berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 8.25 malam ketika jemaah masjid sedang membaca doa dan disusuli bacaan surah Yassin.

Katanya, Rosnah Ramli, 60, tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang membuat pemeriksaan terhadapnya.

"Arwah hadir ke masjid bersama suaminya dan mereka terlebih dulu berbuka puasa sebelum menunaikan solat jemaah serta membaca surah Yassin bersama jemaah lain di masjid ini, malam tadi.

"Menurut jemaah di sebelahnya, arwah ada menunjukkan tanda tidak selesa sebelum tiba-tiba rebah di ruang solat utama wanita.

"Selepas itu, kami terus menghubungi talian kecemasan dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia," katanya di sini, hari ini.

Muhd Azam berkata, Rosnah bersama suami sememangnya sering ke masjid itu untuk menyertai pelbagai aktiviti agama selain menunaikan solat jemaah.

Katanya, suaminya juga kelihatan tenang menerima kejadian itu dan segala urusan arwah dipermudahkan.

Dalam pada itu, anak-anak pasangan itu turut hadir ke masjid untuk melihat keadaan ibu mereka.

"Malam tadi kami menjadi saksi kepada sebuah pengakhiran hidup yang sangat baik dan mulia. Semoga ini menjadi pengajaran, iktibar dan pedoman buat kita semua," katanya.

Difahamkan jenazah arwah akan dikebumikan di Kampung Telaga Mas, Pokok Sena, hari ini.

Berita Harian X