Khamis, 16 Mei 2024 | 4:50pm

Mengaku salah ugut bakar adik kandung guna petrol

MELAKA: Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tadi, atas tuduhan mahu membakar adik kandung dengan menyimbah petrol ke arah mangsa selepas bertengkar berkaitan hal keluarga, Isnin lalu.

Tertuduh, B Arumugam, 41, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dan diterangkan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Prosiding itu didengar Majistret Nabilah Nizam manakala pendakwaan dan pembelaan, masing-masing diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib dan peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan dengan cara menyimbah petrol kepada adik lelakinya, Surendran, 27, di rumah mereka di Jalan Kolam Air, Taman Maju, di sini, jam 6.18 petang, Isnin lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berikutan tertuduh mengaku bersalah, pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi fakta dan hukuman serta menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai dua anak masih bersekolah berusia 11 dan 12 tahun serta isteri tidak bekerja.

Katanya, tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori dan turut menanggung ibu bapa yang sudah tua selain memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kes itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM3,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu fakta dan hukuman pada 10 Jun depan di Mahkamah Majistret Jasin.

Arumugam mengaku salah mengugut adiknya dengan menyimbah mangsa dengan petrol. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Arumugam mengaku salah mengugut adiknya dengan menyimbah mangsa dengan petrol. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X