Khamis, 16 Mei 2024 | 2:52pm
Resit yang ditularkan adalah resit tempahan secara dalam talian dan ada ruangan ‘remark’ yang disalah guna oleh individu itu yang cuba lakukan provokasi dalam isu 3R. - Foto tular
Resit yang ditularkan adalah resit tempahan secara dalam talian dan ada ruangan ‘remark’ yang disalah guna oleh individu itu yang cuba lakukan provokasi dalam isu 3R. - Foto tular

Resit pesanan piza pelanggan hina Islam, polis buka kertas siasatan

BAYAN LEPAS: Polis menyiasat dakwaan seorang pelanggan restoran makanan segera di Kenari Avenue, di sini yang didakwa menghina Islam menerusi ayat yang ditulis pada pesanan dalam talian.

Gambar resit itu turut tular di media sosial selepas dimuat naik di aplikasi X, malah menimbulkan salah faham apabila ia didakwa ditulis pekerja restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu jam 8.46 malam tadi.

"Didapati satu pesanan diterima pada 3.05 petang semalam menerusi aplikasi rangkaian restoran itu yang mempunyai perkataan menghina agama Islam di bahagian nota pesanan.

"Susulan itu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Rizal minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, pihaknya sudah bertemu dengan penyelia cawangan dan pengurus restoran yang menjual piza itu semalam, selepas kes berkenaan tular.

"Ramai salah faham seperti saya juga pada awalnya, menyangka resit berkenaan dijana oleh cashier (juruwang) restoran.

"Sebenarnya resit yang ditularkan itu adalah resit tempahan secara dalam talian dan ada ruangan 'remark' yang disalah guna oleh individu itu yang cuba lakukan provokasi dalam isu 3R (agama, raja, kaum)," katanya yang dimaklumkan bahawa pihak restoran sudah membuat laporan polis mengenai hal itu.

Berita Harian X