Khamis, 16 Mei 2024 | 10:23am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Polis tahan empat lelaki kes samun dan cubaan larikan wanita

JOHOR BAHRU: Selepas kira-kira seminggu diburu, polis berjaya memberkas empat suspek yang dipercayai terbabit dalam satu kejadian kes samun dan cubaan melarikan seorang wanita di Taman Lagenda Putra di sini, 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee, berkata empat lelaki warga tempatan berusia 21 hingga 40 tahun itu ditahan antara jam 10.50 pagi hingga 4.50 petang, Isnin lalu.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis D9 Kontinjen Johor bersama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulai membuat tiga serbuan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru dan Kulim, Kedah.

"Hasil serbuan, kita berjaya menahan empat suspek itu yang dipercayai terbabit dengan kes samun dan cubaan melarikan wanita dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu.

"Dalam serbuan itu juga, polis turut merampas sebuah kereta Honda Civic berserta alat kawalan jauh, empat telefon bimbit dan sebuah tablet," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku mengatur dan merancang untuk melakukan cubaan samun ke atas mangsa.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat pembabitan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah ini.

"Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif methamphetamine," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 365/511 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seng Lee berkata, semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu hingga Isnin depan.

Terdahulu, pada 7 Mei lalu, Seng Lee dalam satu kenyataan media mengesahkan menerima laporan dibuat seorang lelaki yang juga suami kepada mangsa wanita warga tempatan berusia 47 tahun itu.

Pengadu memaklumkan terdengar jeritan isterinya di hadapan rumah sebelum mendapati wanita itu luka di bahagian bibir, tangan dan kaki.

Hasil siasatan mendapati mangsa telah ditumbuk dan diseret atas jalan raya oleh suspek selain cuba ditarik masuk ke dalam kereta, namun tidak berjaya.

Kejadian menimpa mangsa turut tular di media sosial, namun polis menafikan mangsa cuba dicabul seperti yang didakwa.

Berita Harian X